Sign In
Web Creator

Mesyuarat Customs Local Border Committee (CLBC) Kali Ke-4 di antara JKED dan JKDM

07 Mei 2025

Mesyuarat Customs Local Border Committee (CLBC) kali ke-3 di antara Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), telah berlangsung di sebuah hotel di Kuching, Sarawak, Malaysia pada 2hb Mei 2025.

Mesyuarat telah dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Mu'inuddin Chin Bin Abdur Rahman, Timbalan Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, JKED dan Yang Berusaha, Puan Hajah Siti binti Mang, Timbalan Ketua Pengarah Kastam, JKDM. 

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan JKED dan JKDM bagi membincangkan perkembangan terkini bagi kedua-dua pentadbiran kastam serta isu-isu berkepentingan bersama untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai aspek, terutama dalam usaha memudahcara perdagangan rentas sempadan tanpa mengetepikan keselamatan pergerakan barangan di Pos-Pos Kawalan serta pengawalan yang berkesan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang tidak diinginkan seperti penyeludupan barang di sempadan dan perairan negara. 

Disamping menghadiri mesyuarat, delegasi JKED juga telah mengadakan lawatan ke Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) di Kuching, Sarawak bagi meninjau dengan lebih dekat akan kemudahan latihan yang disediakan serta menilai kemungkinan penglibatan pegawai JKED dalam kursus-kursus yang ditawarkan. Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) adalah merupakan sebuah Pusat Latihan Serantau yang diiktiraf oleh World Customs Organisation (WCO) bagi menganjurkan latihan-latihan dalam bidang perkastaman termasuk penguatkuasaan. 

Mesyuarat Customs Local Border Committee (CLBC) Kali Ke-4 di antara JKED dan JKDM dijadualkan untuk diadakan di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2026.

-TAMAT-

Disediakan oleh:
Jabatan Kastam dan Eksais Diraja
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
Emel: info@customs.gov.bn
 
Tarikh:  9hb Zulkaedah 1446
            7hb Mei 2025
Rujukan: JKED/PR/2/2025


 Sesi bergambar ramai delegasi-delegasi JKED dan JKDM


Acara penandatanganan buku lawatan rasmi JKDM oleh
Yang Mulia Awang Haji Mohammad Mu'inuddin Chin Bin Abdur Rahman,
Timbalan Pengawal Kastam dan Eksais Diraja


Attachments