Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Jabatan-Jabatan di dalamnya telah mengadakan Majlis Ceramah Khas sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1446 Hijrah pada hari Isnin, 19 Rabiulawal 1446H bersamaan 23 September 2024M bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di Majlis Ceramah Khas ialah Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Pemangku Menteri Kewangan dan Ekonomi. Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal I), Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Jabatan-Jabatan di dalamnya termasuk pegawai dan kakitangan daripada Brunei Darussalam Central Bank.
Majlis dimulakan dengan persembahan dikir beramai-ramai serta disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ceramah khas yang bertajuk "Rasulullah Rahmat Sekalian Alam", yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar, Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan.
Majlis ini adalah merupakan salah satu aktiviti tahunan keagamaan Kementerian Kewangan dan Ekonomi untuk menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di samping bagi mengenang jasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam memperjuangkan syiar Islam sekali gus menyuntik rasa kecintaan kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Majlis pada tahun ini diselenggarakan oleh Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.