Sign In
Web Creator

Pemeriksaan bersepadu JPES dan SDT pastikan kepatuhan peniaga terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151

​15 Mei 2024

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah menjalankan operasi bersepadu ke atas premis-premis perniagaan di Daerah Temburong pada baru-baru ini.

Operasi sepadu yang dilaksanakan secara bulanan adalah bertujuan bagi memastikan kepatuhan terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 masing-masing di bawah kawalseliaan JPES dan Unit SDT.

Hasil daripada operasi sepadu tersebut mendapati bahawa premis-premis perniagaan yang diperiksa di Daerah Temburong telah mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya di mana barangan yang dikawal harga seperti minyak masak dan susu tepung formula, tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan, dan barangan yang dijual di dalam premis perniagaan telah dibubuh tanda harga dengan jelas dan betul.

Sementara itu, Unit SDT mendapati sebanyak satu (1) daripada lapan (8) unit alat sukat dan timbang yang digunakan bagi tujuan perdagangan, gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 iaitu menggunakan alat sukatan cecair atau cecurung yang telah tamat tempoh sah penggunaan yang dibenarkan. Unit SDT telah mengeluarkan satu (1) Notis Penyitaan ke atas Syarikat Hasnornah Enterprise Sdn Bhd dan pemilik syarikat berkenaan dikehendaki hadir ke pejabat Unit SDT mengikut tadahan alat didaftarkan dalam tempoh tujuh (7) hari waktu bekerja dari tarikh Notis dikeluarkan.

JPES dan Unit SDT ingin mengingatkan para peniaga untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara beretika dan wajar dengan sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151. Perniagaan yang beretika dan wajar akan membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan seterusnya merangsang pertumbuhan aktiviti perekonomian dalam negara. 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui saluran rasmi seperti berikut: 

  • Akta Kawalan Harga, Penggal 142 – Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES melalui Talian Darussalam 123 atau aplikasi PenggunaBijak
  • Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 – Unit SDT, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn 


******* 

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik 

Kementerian Kewangan dan Ekonomi    





Attachments