Sign In
Web Creator

Mengelirukan Pengguna Semasa Aktiviti Jualan dan Gagal mematuhi syarat-syarat Jualan, empat (4) Premis Perniagaan dikeluarkan Notis Amaran

​24 April 2024 



Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengeluarkan empat (4) Notis Amaran kepada empat (4) buah premis perniagaan kerana ketidakpatuhan terhadap Peraturan-Peraturan Acara Harga Jualan Murah pada hujung bulan Februari dan dalam bulan Mac 2024.

Berikutan pemeriksaan ke atas peserta-peserta acara Jualan Mega Brunei 2024 yang dilaksanakan oleh JPES dan aduan pengguna, Syarikat D Euro Fabric, Batu Bersurat telah dikeluarkan Notis Amaran kerana menjalankan aktiviti jualan murah yang mengelirukan pengguna di mana harga sebelum dan selepas diskaun adalah sama. Syarikat berkenaan telah melanggar Peraturan 16 (1) dan (2) di bawah Peraturan-Peraturan Acara Harga Jualan Murah. 

Pemeriksaan yang dijalankan oleh JPES juga mendapati Syarikat Shahira Jaya Supermarkert Sdn Bhd, Jalan Lumapas, Syarikat Sports Nation Company, Mabohai dan Syarikat Best Eastern, Mabohai masing-masing melakukan atas kesalahan di bawah Peraturan 16 (3) dan (4) dari Peraturan-Peraturan Acara Harga Jualan Murah iaitu mengadakan jualan murah tanpa makluman, tidak mempamerkan Notis Jualan dan tidak memberi dokumen yang relevan seperti di dalam syarat jualan semasa pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan. Syarikat-syarikat berkenaan telah dikeluarkan Notis Amaran.

JPES sentiasa menasihatkan peniaga untuk menjalankan acara jualan murah secara beretika dengan mematuhi Peraturan-Peraturan Acara Harga Jualan Murah, Akta Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), Penggal 261 dan Perintah Paparan Tanda Harga. Ini termasuk mempamerkan tanda harga, diskaun serta terma dan syarat dengan benar, jelas dan betul bagi membantu pengguna untuk membuat pilihan pembelian yang bermaklumat. Amalan perniagaan yang beretika dan wajar adalah penting bagi membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan membina persekitaran perniagaan yang kondusif. 

Peniaga turut disarankan untuk memberikan kerjasama kepada JPES dengan membekalkan maklumat-maklumat perniagaan yang terkini dan sahih seperti senarai harga jualan apabila pemeriksaan dilaksanakan di premis perniagaan. Notis Acara Harga Jualan Murah yang dikeluarkan oleh JPES juga hendaklah dipamerkan dengan terang dan jelas di premis perniagaan. 

Peniaga yang masih didapati gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Acara Harga Jualan Murah boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak BND$1,000 menurut Bab 10A, Akta Kawalan Harga, Penggal 142. Bagi kesalahan berulang, boleh dikenakan denda maksimum BND$20,000 dan penjara 5 tahun oleh Mahkamah di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142. 

Aduan mengenai amalan perniagaan yang tidak beretika boleh disalurkan kepada JPES melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau Talian Darussalam 123, dengan menyertakan dokumen sokongan seperti resit pembayaran atau gambar sebagai bukti, bagi penelitian lanjut. 


*******

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik 

Kementerian Kewangan dan Ekonomi



Attachments