Sign In
Web Creator

Kes Tangkapan Barang-Barang Tegahan Kastam

​10 April 2024

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui gerakan operasi Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang telah berjaya membuat kes-kes tangkapan barang-barang kesalahan Kastam di kawasan Kampong Tanjong Bunut, Kampong Junjungan dan Kampong Sungai Kebun, Daerah Brunei dan Muara.

Hasil gerakan operasi pertama yang telah dijalankan pada hari Jumaat, 29hb., Mac, 2024 di kawasan Kampong Tanjong Bunut, telah berjaya menahan seorang lelaki warga India berumur 38 tahun atas kesalahan memiliki barang kesalahan, iaitu: 

  • 16,932 paket dan 871 batang bunga api pelbagai jenama; dan 
  • 44,100 paket mercun pelbagai jenama.

Hasil gerakan operasi kedua yang telah dijalankan pada hari Sabtu, 30hb Mac 2024 di kawasan Kampong Junjungan, telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun atas kesalahan memiliki barang kesalahan, iaitu: 

  • 101 paket dan 175 batang bunga api pelbagai jenama; dan 
  • 7 kotak dan 180 biji mercun pelbagai jenama. 

Seterusnya, hasil gerakan operasi ketiga yang telah dijalankan pada hari Isnin, 1hb April 2024 di kawasan Kampong Sungai Kebun, telah berjaya menahan seorang perempuan warga tempatan berumur 43 tahun atas kesalahan memiliki barang kesalahan, iaitu: 

  • 131 katon dan 214 paket rokok pelbagai jenama; 
  • 1 kotak,14 paket dan 97 batang mercun pelbagai jenama; 
  • Wang tunai BND$3,688.00 dipercayai hasil daripada aktiviti penjualan barang kesalahan kastam; dan
  • 1 unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk aktiviti kesalahan JKED. 

Kesemua barang-barang kesalahan terbabit telah dirampas dan individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Undang-Undang, JKED untuk siasatan lanjut. 

JKED ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi mana-mana perundangan Negara dan menghindari dari melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan,sekatan dan juga larangan Kastam. Memiliki barang-barang tegahan Kastam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 140, Perintah Kastam 2006 atau Seksyen 146, Perintah Eksais 2006. 

JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED. Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan Kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan Kastam dengan menghubungi JKED di talian utama JKED: 8714422/8721422 atau ke pejabat Kastam yang berdekatan. Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. 


JABATAN KASTAM DAN EKSAIS DIRAJA 

KEMENTERIAN KEWANGAN DAN EKONOMI 

TARIKH: 10 APRIL 2024 

RUJ KES KASTAM: ENF/PR/2/2024


















Attachments