Sign In
Web Creator

Pengusaha Bangku Pasar-Pasar dan Tamu Diingatkan Untuk Mempamerkan Tanda Harga Dengan Jelas dan Betul

​09 April 2024


Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah menjalankan pemeriksaan ke atas Pasar Tani Selayun, Pasar Jerudong, Pasar Gadong dan Tamu Kianggeh pada baru-baru ini sebagai usaha dalam memelihara kesejahteraan pengguna dengan memastikan pengusaha bangku mengamalkan ketelusan harga serta menjalankan amalan perniagaan yang telus dan beretika ke arah membina persekitaran perniagaan yang sihat dan kompetitif.

Semasa pemeriksaan, pengusaha bangku diingatkan mengenai keperluan untuk mempamerkan tanda harga ke atas barangan yang dijual di pasar dan tamu dengan jelas dan betul sepertimana yang diperlukan di bawah Perintah Paparan Tanda Harga, bagi membolehkan pengguna untuk membuat perbandingan harga dan seterusnya membuat pembelian yang bermaklumat. 

Pemeriksaan tersebut telah mendapati lebih sembilan puluh (90) pengusaha bangku di pasar-pasar dan tamu tidak mempamerkan tanda harga dan sebilangan pengusaha mempamerkan tanda harga pada sebahagian barangan yang dijual sahaja. 

Dalam hal ini, pengusaha bangku telah diberi amaran untuk sentiasa mematuhi Perintah Paparan Tanda Harga dengan mempamerkan tanda harga yang jelas dan betul. Pengusaha bangku juga disarankan untuk menggunakan tanda harga yang mudah dan ringkas dengan mempamerkan harga barangan mengikut sukatan tertentu atau menggunakan senarai harga yang dipamerkan di tempat yang jelas.

Kegagalan untuk mematuhi Perintah Paparan Tanda Harga boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak BND$1,000 menurut Bab 10A, Akta Kawalan Harga, Penggal 142. Bagi kesalahan berulang, boleh dikenakan denda maksimum BND$20,000 dan penjara 5 tahun oleh Mahkamah di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142. 

Aduan mengenai Perintah Paparan Tanda Harga boleh disalurkan kepada JPES melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau Talian Darussalam 123. Bagi melancarkan penelitian, aduan perlu disertakan dengan resit pembayaran atau gambar sebagai bukti. 


*******

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik

Kementerian Kewangan dan Ekonomi






Attachments