Sign In
Web Creator

Sesi Muzakarah Di Antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Serta Jabatan-Jabatan Di Dalamnya


​05 Februari 2024 

Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan Sesi Muzakarah di antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada hari Isnin, 24 Rejab 1445H bersamaan 05 Februari 2024M bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam. 

Hadir selaku pengerusi semasa Sesi Muzakarah tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha-Setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Timbalan Setiausaha Tetap berserta ketua-ketua jabatan dan bahagian Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Manakala rombongan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, yang mana juga telah menyampaikan ucapan balas semasa permuzakarahan tersebut. 

Sesi Muzakarah tersebut merupakan sebuah platform perbincangan serta bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan secara konstruktif dalam mencapai objektif yang sama dalam memajukan ekonomi negara melalui perbelanjaan negara yang relevan dan berdaya tahan, demi sama-sama menjaga kemakmuran rakyat pada masa ini dan generasi yang akan datang. Selain daripada itu, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah mendengarkan inisiatif-inisiatif dan pencapaian-pencapaian Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi tahun 2023.​​

Attachments