25 November 2023
Sebuah premis perniagaan telah didapati melanggar Akta Sukatan dan Timbangan
1983 Penggal 151, manakala tiada kesalahan didapati di bawah Akta Kawalan
Harga, Penggal 142 semasa pemeriksaan bersepadu bulanan yang dijalankan oleh
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal
Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan
Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi di Daerah
Tutong baru-baru ini.
Pemeriksaan bersepadu di antara JPES dan Unit SDT adalah merupakan aktiviti
penguatkuasaan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di
bawahnya, serta Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 dalam usaha
untuk membantu mempromosi persekitaran perniagaan yang beretika dan wajar
dengan memastikan kepatuhan terhadap perundangan-perundangan berkenaan.
Skop pemeriksaan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di
bawahnya merangkumi pemeriksaan terhadap paparan tanda harga agar tanda
harga dipamerkan dengan terang dan jelas, serta pemeriksaan ke atas barangan
yang dikawal harga di bawah Akta iaitu minyak masak, susu tepung formula anak
damit dan barangan bersubsidi seperti beras dan gula.
Manakala, skop penguatkuasaan di bawah Akta Sukatan dan Timbangan 1983
Penggal 151 adalah bagi memastikan sebarang penggunaan alat sukat dan timbang
bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT selaras
dengan kehendak akta dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Kesemua premis perniagaan yang diperiksa semasa lawatan bersepadu telah
didapati mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu tidak menjual barangan
yang dikawal harga di bawah Akta melebihi harga maksimum yang ditetapkan, serta
mempamerkan tanda harga dengan betul dan jelas bagi barangan yang dijual di
dalam premis perniagaan.
Sementara itu, Unit SDT telah mengeluarkan satu (1) Notis Penyitaan ke atas
Syarikat Usaha Tasbih Mini Mart @ Usaha Tasbih Pasar Raya kerana didapati
menggunakan alat sukat dan timbang yang telah mansuh pendaftarannya. Pihak
syarikat adalah dikehendaki untuk hadir ke pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh (7)
hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu tersebut.
JPES dan Unit SDT secara berterusan menasihatkan para peniaga untuk
menjalankan aktiviti perniagaan secara beretika dan wajar dengan sentiasa
mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan
1983 Penggal 151.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi saluran-saluran
rasmi seperti berikut:
- Akta Kawalan Harga, Penggal 142 – Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES
melalui melalui Talian Darussalam 123 atau aplikasi PenggunaBijak.
- Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 – Unit SDT, Bahagian Industri
dan Ekosistem Perniagaan melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn.
*******
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
%20JPES%20A%20.jpeg)
%20JPES%20B.jpeg)