Sign In
Web Creator

Notis Amaran dan Peringatan dikeluarkan kerana Gagal Pamer Tanda Harga dan Tanda Berat Masing-Masing di Bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151


Tiga (3) buah premis perniagaan secara keseluruhan telah didapati gagal mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 serta Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151 semasa pemeriksaan bersepadu bulanan yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di premis-premis perniagaan di Daerah Tutong baru-baru ini.

JPES melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna telah mengeluarkan satu (1) Notis Amaran di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 kepada Syarikat Yashfeen Sdn Bhd kerana tidak mempamerkan tanda harga bagi beberapa barangan yang dijual di dalam premis perniagaan. 

Sementara itu, pihak Unit SDT mendapati sebanyak sembilan belas (19) unit alat sukat dan timbang yang digunakan bagi tujuan perdagangan mematuhi akta dan peraturan sukatan dan timbangan. Namun demikian, sebanyak tiga (3) buah syarikat iaitu Syarikat Mahamas Sdn Bhd, Syarikat Yashfeen Sdn Bhd dan Syarikat Ya Nur Trading Company Sdn Bhd dikeluarkan Notis Peringatan atas kesalahan tidak mempamerkan tanda berat ke atas barang-barang berbungkus selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Ceraian 7 hingga 9. Pihak pengurusan dan pekerja-pekerja pembungkus telah diarahkan untuk meletakkan tanda berat ke atas barang-barang berbungkus dengan serta merta dan para pegawai Unit SDT turut memberikan tunjuk ajar tatacara membungkus dan menimbang dengan betul. 

Pemeriksaan bersepadu bulanan merupakan aktiviti penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, serta Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 dalam usaha bagi memastikan amalan perniagaan yang beretika dan boleh menyumbang kepada mewujudkan iklim perniagaan yang sihat dan mampan. 

Para peniaga disarankan untuk sentiasa memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mematuhi semua perundangan yang sedia ada termasuk Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151. Kepatuhan para peniaga melalui mengamalkan amalan perniagaan yang beretika dan wajar adalah penting bagi membantu membina penggunaan domestik yang bedaya tahan dan merangsang pertumbuhan perekonomian domestik Negara.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi JPES melalui Talian Darussalam 123 atau aplikasi PenggunaBijak, dan Unit SDT melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn.



******* 

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik 

Kementerian Kewangan dan Ekonomi


Attachments