Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna
bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan
di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah menjalankan pemeriksaan bersepadu
bulanan bagi bulan Mei 2023 di premis-premis perniagaan di Daerah Tutong, iaitu di Mukim
Kiudang dan Mukim Keriam pada hari ini.
Ini merupakan salah satu usaha kerjasama di antara pihak JPES dan Unit SDT dalam
memupuk dan memastikan kepatuhan para peniaga terhadap Akta Kawalan Harga,
Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151. Tindakan pemeriksaan
mengejut secara bersepadu di antara JPES dan Unit SDT ke atas premis-premis
perniagaan yang dilaksanakan adalah secara bulanan yang mana telah diadakan sejak
Ogos 2022 hingga kini di empat-empat daerah di Negara ini.
Berikutan pemeriksaan bersepadu tersebut, pihak JPES telah mengeluarkan sebanyak tiga
(3) Notis Amaran ke atas dua (2) premis perniagaan iaitu Cap Udang Mariam Enterprise
dan Al-Rejek Sdn Bhd bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu
menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi minyak masak dan tidak
mempamerkan tanda harga bagi beberapa barangan termasuk minyak masak, susu tepung
anak damit, tuala kertas dapur dan barangan penyegar udara. Para peniaga turut
disarankan untuk sentiasa menyemak dan mengemaskini harga terutama bagi barangan
yang dikawal harga dan dinasihatkan untuk sentiasa mempamerkan tanda harga ke atas
barangan yang dijual.
Manakala, pihak Unit SDT juga telah mengeluarkan satu Notis Penyitaan ke atas sebuah
premis perniagaan iaitu Cap Udang Mariam Enterprise kerana gagal mematuhi Akta
Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 Ceraian 10 yang mana menggunakan alat sukatan
yang telah rosak. Pihak syarikat adalah dikehendaki hadir ke pejabat Unit SDT dalam
tempoh tujuh (7) hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu
tersebut. Kesemua alat tersebut telah disita.
Oleh itu, para peniaga diingatkan untuk sentiasa peka dan mematuhi undang-undang yang
sedia ada dalam membantu Negara membangunkan persekitaran perniagaan yang
berdaya tahan dan mampan dengan menjalankan perniagaan yang wajar dan beretika iaitu
memastikan barangan yang dijual tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan,
memaparkan tanda harga jelas dan tidak menggelirukan. Selain itu, para peniaga juga
dinasihatkan untuk memastikan semua alat-alat sukat dan timbang yang digunakan untuk
tujuan perdagangan atau perniagaan hendaklah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT.
Orang ramai adalah disarankan untuk menggunakan saluran-saluran rasmi bagi sebarang
aduan dan pertanyaan lanjut seperti berikut:
a) Akta Kawalan Harga, Penggal 142 – Jabatan Hal Ehwal Pengguna di JPES melalui
Talian Darussalam 123 (TD123), aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau emel
kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn;
b) Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 – Unit SDT, Bahagian Industri dan
Ekosistem Perniagaan melalui talian 2334092 atau e-mel ke: sdt@mofe.gov.bn.
*******
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
%20JPES%20and%20SDT%20B.jpeg)
%20JPES%20and%20SDT%20C.jpeg)