Sign In
Web Creator

Tiga Notis Amaran dan satu Notis Penyitaan dikeluarkan semasa pemeriksaan bersepadu JPES dan SDT di Daerah Tutong


Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah menjalankan pemeriksaan bersepadu bulanan bagi bulan Mei 2023 di premis-premis perniagaan di Daerah Tutong, iaitu di Mukim Kiudang dan Mukim Keriam pada hari ini. 

Ini merupakan salah satu usaha kerjasama di antara pihak JPES dan Unit SDT dalam memupuk dan memastikan kepatuhan para peniaga terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151. Tindakan pemeriksaan mengejut secara bersepadu di antara JPES dan Unit SDT ke atas premis-premis perniagaan yang dilaksanakan adalah secara bulanan yang mana telah diadakan sejak Ogos 2022 hingga kini di empat-empat daerah di Negara ini. 

Berikutan pemeriksaan bersepadu tersebut, pihak JPES telah mengeluarkan sebanyak tiga (3) Notis Amaran ke atas dua (2) premis perniagaan iaitu Cap Udang Mariam Enterprise dan Al-Rejek Sdn Bhd bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi minyak masak dan tidak mempamerkan tanda harga bagi beberapa barangan termasuk minyak masak, susu tepung anak damit, tuala kertas dapur dan barangan penyegar udara. Para peniaga turut disarankan untuk sentiasa menyemak dan mengemaskini harga terutama bagi barangan yang dikawal harga dan dinasihatkan untuk sentiasa mempamerkan tanda harga ke atas barangan yang dijual. 

Manakala, pihak Unit SDT juga telah mengeluarkan satu Notis Penyitaan ke atas sebuah premis perniagaan iaitu Cap Udang Mariam Enterprise kerana gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 Ceraian 10 yang mana menggunakan alat sukatan yang telah rosak. Pihak syarikat adalah dikehendaki hadir ke pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh (7) hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu tersebut. Kesemua alat tersebut telah disita. 

Oleh itu, para peniaga diingatkan untuk sentiasa peka dan mematuhi undang-undang yang sedia ada dalam membantu Negara membangunkan persekitaran perniagaan yang berdaya tahan dan mampan dengan menjalankan perniagaan yang wajar dan beretika iaitu memastikan barangan yang dijual tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan, memaparkan tanda harga jelas dan tidak menggelirukan. Selain itu, para peniaga juga dinasihatkan untuk memastikan semua alat-alat sukat dan timbang yang digunakan untuk tujuan perdagangan atau perniagaan hendaklah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT. 

Orang ramai adalah disarankan untuk menggunakan saluran-saluran rasmi bagi sebarang aduan dan pertanyaan lanjut seperti berikut: 

a) Akta Kawalan Harga, Penggal 142 – Jabatan Hal Ehwal Pengguna di JPES melalui Talian Darussalam 123 (TD123), aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau emel kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn; 

​b) Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 – Unit SDT, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan melalui talian 2334092 atau e-mel ke: sdt@mofe.gov.bn. 


******* 

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik 

Kementerian Kewangan dan Ekonomi






Attachments