Sign In
Web Creator

Amalan budaya "Pengguna Bijak" mewujudkan pasaran yang sihat dan berdayatahan



​Mengamalkan budaya “Pengguna Bijak” melalui maklumat yang tersedia di aplikasi PenggunaBijak memainkan peranan penting ke arah mencapai persekitaran pasaran yang sihat dan berdayatahan. Ini adalah antara intipati utama semasa sesi taklimat yang disampaikan oleh Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) di bawah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, yang diadakan di Brunei MSME Festival 2023 baru-baru ini.

Sesi taklimat dimulai dengan penjelasan terhadap kenaikan harga makanan global yang menjadi punca harga makanan asasi meningkat di negara ini, mengambilkira 70% barangan makanan diimport dari luar negara. Sebagai contoh, kenaikan harga soya di peringkat global dari negara pengeluar menyebabkan harga minyak masak di negara ini turut meningkat, dan bahan input makanan ayam seperti jagung menyebabkan kenaikan harga ayam dan telur.

Bagi menangani impak kenaikan harga, pihak JPES mengongsikan usaha-usaha yang dilaksanakan melalui penguatkuasaan kawalan harga barangan makanan yang disenaraikan di dalam Akta Kawalan Harga Penggal 142. Taklimat juga mengongsikan perbandingan harga barangan asasi dengan negara jiran yang mana usaha kerajaan melalui subsidi di negara ini telah banyak mengurangkan kesan kenaikan harga berbanding negara jiran seperti elektrik, minyak kereta, beras dan lain-lain. 

Antaralain usaha untuk memupuk budaya “Pengguna Bijak”, JPES juga memuatnaik senarai harga barangan makanan asasi utama terpilih melalui hasil kerja pemantauan harga yang dikemaskini setiap minggu di dalam aplikasi Penggunabijak.

Sebagai tambahan, pengguna juga boleh menggunakan maklumat harga daripada inisiatif 1-2-Compare yang merangkumi lebih 180 produk berasaskan food basket hasil Household Expenditure Survey. Maklumat harga berkenaan dapat diakses di aplikasi PenggunaBijak bagi membantu orang ramai khususnya pengguna membuat perbandingan harga dan pilihan dalam mendapatkan keputusan pembelian yang bermaklumat. 

Pihak JPES juga mengongsikan langkah-langkah kerajaan yang lebih berdayatahan dengan kerjasama pihak swasta dan pegawalselia sektor untuk mempelbagaikan sumber import dan meningkatkan pengeluaran tempatan untuk mengurangkan kebergantungan yang tinggi terhadap import demi memastikan kestabilan bekalan.

Sesi taklimat tersebut diakhiri dengan menyarankan para peniaga dan para pengguna untuk bersama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk mewujudkan pasaran yang lebih baik untuk Negara ini ke arah mencapai persekitaran pasaran yang sihat dan berdayatahan melalui ekosistem perniagaan yang mampan dan pengguna yang perkasa. 


****** 

Jabatan Hal Ehwal Pengguna 

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik 

Kementerian Kewangan dan Ekonomi



Attachments