Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan
Ekonomi melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna akan mengadakan acara jualan
murah tahunan di peringkat kebangsaan bertajuk Jualan Mega Brunei (JMB) 2023
bermula esok, 16 Mac 2023 hingga 6 Mei 2023 selama 52 hari.
Acara jualan murah tahunan di peringkat kebangsaan JMB 2023 ini memberi
peluang kepada para peniaga untuk menarik pelanggan dengan menawarkan
potongan harga istimewa ke atas barangan dan perkhidmatan bagi merangsang
penggunaan dalam negeri (domestic consumption).
JPES mempelawa penyertaan para peniaga dari pelbagai sektor untuk sama-sama
menyokong acara jualan murah kebangsaan dan membantu menyumbang kepada
meningkatkan kegiatan perekonomian negara dengan menggalakkan orang ramai
untuk berbelanja dalam negeri, sempena kedatangan bulan Ramadhan dan musim
perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba.
Para peserta yang ikut serta di dalam acara JMB 2023 akan dipaparkan di dalam
aplikasi mudah alih PenggunaBijak melalui ciri “Jualan & Diskaun” bagi tujuan
publisiti dan bagi memudahkan pengguna mengetahui peserta JMB 2023 dan
memudahkan pengguna berkunjung ke premis-premis perniagaan berkenaan
Di kesempatan ini, JPES mengingatkan peserta JMB 2023 untuk sentiasa
menjalankan perniagaan dan acara jualan murah secara beretika dengan mematuhi
Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) 2011 dan Perintah Paparan
Tanda Harga, dengan mempamerkan tanda harga dan diskaun serta terma dan
syarat dengan jelas bagi memastikan pengguna membuat pilihan pembelian yang
bermaklumat. Dalam pada itu, Notis Acara Harga Jualan Murah yang dikeluarkan
oleh JPES hendaklah dipamerkan dengan terang dan jelas di setiap premis
perniagaan masing-masing.
Borang Makluman untuk menyertai acara JMB 2023 boleh dimuat turun dari laman
sesawang JPES iaitu www.deps.gov.bn/cad atau diperolehi melalui kaunter semasa
hari dan waktu bekerja. Borang Makluman yang lengkap boleh dihadapkan kepada
Jabatan Hal Ehwal Pengguna bermula hari ini sehingga hari Sabtu, 25 Mac 2023
melalui e-mel sales@jpes.gov.bn atau dihantar terus ke kaunter pada alamat
berikut:
Jabatan Hal Ehwal Pengguna
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik
Bilik 2A3:06, Aras 3, West Wing
Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping
Bandar Seri Begawan BA1131
Negara Brunei Darussalam
Sebarang pertanyaan mengenai JMB 2023 boleh disalurkan kepada JPES melalui
aplikasi PenggunaBijak atau e-mel (sales@jpes.gov.bn)