Sign In
Web Creator

Pemeriksaan bersepadu JPES dan SDT fokus kepada peserta Brunei Salebration 2022 ke arah memastikan jualan dilaksanakan secara beretika

​Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Ind​ustri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah menjalankan pemeriksaan bersepadu pada hari Sabtu, 14 Januari 2023 melibatkan premis-premis perniagaan di kawasan Kiulap, Daerah Brunei-Muara. 

Pemeriksaan bersepadu yang dilaksanakan secara bulanan ini adalah bertujuan bagi memastikan kepatuhan terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 serta Peraturan-Peraturan di bawahnya, dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151, yang masing-masing di bawah kawalseliaan JPES dan Unit SDT. Pemeriksaan bersepadu bulan Januari 2023 memfokuskan kepada peserta-peserta acara jualan murah di peringkat kebangsaan iaitu Brunei Salebration (BSb) 2022 dalam memastikan peserta-peserta BSb melaksanakan jualan secara beretika seperti tidak memperdayakan pengguna dengan tawaran yang tidak benar dan memastikan sebarang alat sukat dan timbang yang digunakan adalah sah dan berdaftar dari segi undang-undang. 

Hasil daripada pemeriksaan bersepadu mendapati bahawa premis-premis perniagaan menjalankan aktiviti jualan selaras dengan Peraturan-Peraturan Acara Harga Jualan Murah seperti antaralainnya mempamerkan tanda harga sebelum dan selepas jualan, memaparkan Notis Jualan, dan memenuhi keperluan bagi penyediaan senarai harga sebelum dan selepas jualan untuk diperiksa. 

Manakala, pihak Unit SDT pula mendapati satu (1) unit daripada lima belas (15) unit alat sukat dan timbang yang digunakan bagi tujuan perniagaan, gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 iaitu menggunakan alat sukatan yang telah tamat tempoh pendaftaran. Notis Penyitaan telah dikeluarkan ke atas Syarikat Parvati Textile Centre dan pemilik syarikat berkenaan dikehendaki hadir ke pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh (7) hari waktu bekerja dari tarikh Notis dikeluarkan. 

JPES menasihatkan para peniaga supaya sentiasa mematuhi Peraturan Acara Harga Jualan Murah di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dengan menjalankan aktiviti jualan murah secara beretika dan tidak memperdaya pengguna dengan penjimatan yang tidak benar seperti membuat kenyataan palsu mengenai harga diskaun. Peserta acara jualan murah juga dinasihatkan untuk sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasa dengan membekalkan maklumat-maklumat mengenai jualan apabila pemeriksaan dilaksanakan di premis perniagaan. 

Sementara itu, Unit SDT menyarankan para peniaga dan pengguna untuk memastikan alat-alat sukat dan timbang yang digunakan semasa aktiviti jual beli yang melibatkan bacaan tanda berat, isipadu, ukur panjang dan lebar, alat-alat tersebut mempunyai pelekat pendaftaran yang mengandungi tempoh penggunaan yang sah yang dikeluarkan oleh Unit SDT. 

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi JPES melalui Talian Darussalam 123; aplikasi mudah alih PenggunaBijak; atau e-mel kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn. Unit SDT boleh dihubungi melalui e-mel: sdt@mofe.gov.bn. 


******* 

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik 

Kementerian Kewangan dan Ekonomi





 


Attachments