Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal
Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan
Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah
menjalankan pemeriksaan bersepadu pada hari Sabtu, 14 Januari 2023 melibatkan
premis-premis perniagaan di kawasan Kiulap, Daerah Brunei-Muara.
Pemeriksaan bersepadu yang dilaksanakan secara bulanan ini adalah bertujuan
bagi memastikan kepatuhan terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 serta
Peraturan-Peraturan di bawahnya, dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal
151, yang masing-masing di bawah kawalseliaan JPES dan Unit SDT. Pemeriksaan
bersepadu bulan Januari 2023 memfokuskan kepada peserta-peserta acara jualan
murah di peringkat kebangsaan iaitu Brunei Salebration (BSb) 2022 dalam
memastikan peserta-peserta BSb melaksanakan jualan secara beretika seperti tidak
memperdayakan pengguna dengan tawaran yang tidak benar dan memastikan
sebarang alat sukat dan timbang yang digunakan adalah sah dan berdaftar dari segi
undang-undang.
Hasil daripada pemeriksaan bersepadu mendapati bahawa premis-premis
perniagaan menjalankan aktiviti jualan selaras dengan Peraturan-Peraturan Acara
Harga Jualan Murah seperti antaralainnya mempamerkan tanda harga sebelum dan
selepas jualan, memaparkan Notis Jualan, dan memenuhi keperluan bagi
penyediaan senarai harga sebelum dan selepas jualan untuk diperiksa.
Manakala, pihak Unit SDT pula mendapati satu (1) unit daripada lima belas (15) unit
alat sukat dan timbang yang digunakan bagi tujuan perniagaan, gagal mematuhi
Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 iaitu menggunakan alat sukatan
yang telah tamat tempoh pendaftaran. Notis Penyitaan telah dikeluarkan ke atas
Syarikat Parvati Textile Centre dan pemilik syarikat berkenaan dikehendaki hadir ke
pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh (7) hari waktu bekerja dari tarikh Notis
dikeluarkan.
JPES menasihatkan para peniaga supaya sentiasa mematuhi Peraturan Acara
Harga Jualan Murah di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dengan
menjalankan aktiviti jualan murah secara beretika dan tidak memperdaya pengguna
dengan penjimatan yang tidak benar seperti membuat kenyataan palsu mengenai
harga diskaun. Peserta acara jualan murah juga dinasihatkan untuk sentiasa
bersedia memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasa dengan membekalkan
maklumat-maklumat mengenai jualan apabila pemeriksaan dilaksanakan di premis
perniagaan.
Sementara itu, Unit SDT menyarankan para peniaga dan pengguna untuk
memastikan alat-alat sukat dan timbang yang digunakan semasa aktiviti jual beli
yang melibatkan bacaan tanda berat, isipadu, ukur panjang dan lebar, alat-alat
tersebut mempunyai pelekat pendaftaran yang mengandungi tempoh penggunaan
yang sah yang dikeluarkan oleh Unit SDT.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi JPES melalui
Talian Darussalam 123; aplikasi mudah alih PenggunaBijak; atau e-mel kepada
aduanpengguna@jpes.gov.bn. Unit SDT boleh dihubungi melalui e-mel:
sdt@mofe.gov.bn.
*******
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
%20JPES%20Sepadu%20D.jpeg)
%20JPES%20Sepadu%20C.jpeg)
%20JPES%20Sepadu%20A.jpeg)
%20JPES%20Sepadu%20B.jpeg)