Sign In
Web Creator

Kes-Kes Tangkapan Gerakan Operasi Barang Tegahan Kastam

​Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang telah menjalankan empat gerakan operasi di kawasan Kampong Beribi, kawasan Kampong Mulaut, kawasan Kampong Kiarong dan kawasan Pantai Serasa, Muara. 

Hasil gerakan operasi pertama yang dijalankan pada hari Selasa, 12hb Julai 2022 di kawasan Kampong Beribi, JKED telah berjaya menahan 6 orang lelaki warganegara asing yang berumur dalam lingkungan 33 hingga 43 tahun yang memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu 52 katon, 34 paket, 44 batang rokok pelbagai jenis dan 9 botol minuman keras. Turut ditahan adalah wang tunai sebanyak BND3,236.00 yang dipercayai hasil penjualan barang-barang tegahan Kastam. 

Hasil gerakan operasi kedua yang dijalankan pada hari Khamis, 14hb Julai 2022 di kawasan Kampong Mulaut, JKED telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara tempatan yang berumur 20 tahun yang memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu 65 katon dan 9 paket rokok pelbagai jenis. Turut ditahan adalah sebuah kereta serta wang tunai berjumlah BND131.00 yang dipercayai hasil penjualan barang-barang tegahan Kastam.  

Hasil gerakan operasi ketiga yang dijalankan pada hari Sabtu, 16hb Julai 2022 di salah sebuah restoran di Kampong Kiarong, JKED telah berjaya menahan 4 orang warganegara tempatan dan seorang lelaki penduduk tetap yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 54 tahun yang memiliki barang tegahan Kastam iaitu 2 unit vape, 1 paket dan 22 batang rokok. 

Hasil gerakan operasi keempat yang dijalankan pada hari Isnin, 18hb Julai 2022, di kawasan Pantai Serasa, JKED telah berjaya menahan 2 orang individu warganegara tempatan yang berumur 22 dan 40 tahun yang memiliki 400kg Tongkeng Ayam dan 100kg Sayap Ayam yang diragui kehalalannya. Turut ditahan adalah sebuah bot berukuran 15 kaki berserta 2 enjin dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk membawa barangan tersebut. 

Selain daripada kes-kes tangkapan gerakan operasi, JKED menerusi pemeriksaan rutin harian yang dijalankan pada hari Sabtu, 16hb Julai 2022 di Bahagian Penumpang, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) telah berjaya menangkap seorang penumpang warganegara tempatan yang berumur 28 tahun. Hasil pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa telah mendapati barang tegahan Kastam seperti berikut:- 

  • 25 Unit Vapengin [5500 puffs] 5ml  
  • 40 Unit Capbar shots [7000 puffs] 16ml 
  • 27 Unit King xDisposable [7500 puffs] 18ml 
  • 10 Unit VoltbarDisposable [6000 puffs] 

Manakala satu kes tangkapan juga telah dibuat di Pos Kawalan Sungai Tujoh pada hari Selasa, 19hb Julai 2022 yang melibatkan barang tegahan Kastam iaitu vape dan vape juice. Semasa menjalankan pemeriksaan rutin harian ke atas sebuah kenderaan di bahagian masuk, JKED telah mendapati barang-barang tersebut telah disembunyikan di dalam bag kecil yang diletakkan di bawah kerusi penumpang hadapan. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati barang tegahan Kastam seperti berikut: 

  • 2 Sp2 Pod Sticks 
  • 2 paket x 2 Unit e-liquid pelbagai jenis flavor 
  • 8 paket x 3 Unit e-liquid pelbagai jenis flavour 


Kesemua barang-barang terbabit telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Undang-undang untuk siasatan lanjut. 

JKED ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi mana-mana perundangan Negara ini dan menghindari dari melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan juga larangan Kastam. Memiliki barang-barang tegahan Kastam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006. 

JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED. Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan Kastam dengan menghubungi JKED di talian utama JKED: 8714422/8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan. Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. 


JABATAN KASTAM DAN EKSAIS DIRAJA 

KEMENTERIAN KEWANGAN DAN EKONOMI 

Tarikh: 22hb Julai 2022 

RUJ KES KASTAM: ENF/PR/11/2022 











Attachments