Sign In
Web Creator

Kes-Kes Tangkapan Gerakan Operasi Barang Tegahan Kastam

​Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang telah menjalankan tiga gerakan operasi melibatkan pemeriksaan rumah di Jalan Beribi, Jalan Jaya Negara Kuala Belait serta pemeriksaan rumah dan gerai jualan di Kampong Mata-Mata, Gadong.

Hasil gerakan operasi pertama yang dijalankan pada hari Selasa, 14hb Jun 2022 melibatkan pemeriksaan dua buah rumah di Jalan Beribi, Daerah Brunei Muara. JKED telah berjaya menahan empat orang lelaki warganegara asing yang berumur lingkungan 22 hingga 54 tahun yang dipercayai memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu 2 katon, 19 paket dan 19 batang rokok pelbagai jenis. 

Seterusnya, gerakan operasi kedua dijalankan pada hari Rabu, 15hb Jun 2022 telah melibatkan pemeriksaan sebuah rumah di kawasan Jalan Jaya Negara, Daerah Belait. JKED telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang berumur 43 tahun yang dipercayai memiliki barang tegahan Kastam iaitu 128 katon, 19 paket dan 12 batang rokok pelbagai jenis serta 3 kotak mercun dan bunga api. 

Hasil gerakan ketiga yang dijalankan pada hari Khamis, 16hb Jun 2022 telah melibatkan pemeriksaan sebuah rumah dan dua buah gerai jualan di kawasan Kampong Mata-Mata, Gadong, Daerah Brunei dan Muara. JKED telah berjaya menahan dua orang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan yang berumur lingkungan 26 hingga 48 tahun yang dipercayai memiliki barang tegahan Kastam iaitu 67 katon, 40 paket dan 32 batang rokok pelbagai jenis serta wang tunai sebanyak BND78.00 yang dipercayai hasil penjualan barang-barang tegahan Kastam. 

Kesemua barangan tegahan telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-Undang untuk siasatan lanjut. 

JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED. Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan Kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan Kastam dengan menghubungi JKED di talian utama JKED: 8714422/8721422 atau pejabat Kastam yang berdekatan. Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Attachments