Sign In
Web Creator

Kes-Kes Tangkapan Gerakan Operasi Barang Tegahan Kastam


​Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang telah menjalankan empat gerakan operasi melibatkan pemeriksaan rumah di Jalan Jaya Negara, Kuala Belait, kawasan Kampong Beribi dan kawasan Jalan Berakas. 

Hasil gerakan operasi pertama, kedua dan ketiga yang dijalankan pada hari Selasa, 7hb Jun 2022. Gerakan operasi pertama dan kedua dijalankan di dua buah rumah di kawasan Jalan Jaya Negara, Kuala Belait. JKED telah berjaya menahan 5 orang lelaki warganegara asing dan seorang penduduk tetap yang berumur lingkungan 21 hingga 62 tahun yang memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu 5 katon, 8 paket dan 28 batang rokok pelbagai jenis. 

Seterusnya hasil gerakan operasi ketiga pula dijalankan di sebuah rumah di kawasan Kampong Beribi, Daerah Brunei dan Muara. JKED telah berjaya menahan 4 orang warga tempatan dan 4 orang warganegara asing yang berumur lingkungan 21 hingga 36 tahun yang memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu 9 unit shisha, 15 botol perisa shisha pelbagai jenis, 7 unit vape, 3 unit vape pod pelbagai jenis serta 33 batang rokok pelbagai jenis. Selain daripada itu, turut dijumpai ialah 1 kontena bersaiz kecil yang berisi daun-daun kering dipercayai sejenis dadah terkawal. Kontena tersebut dan tahanan telah diserahkan ke Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk siasatan lanjut. 

Hasil gerakan operasi keempat yang dijalankan pada hari Rabu, 8hb Jun 2022 melibatkan sebuah rumah di kawasan Jalan Berakas, Daerah Brunei dan Muara telah berjaya menahan 3 orang lelaki warganegara asing yang berumur lingkungan 40 hingga 48 tahun yang memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu 128 botol dan 44 tin minuman keras pelbagai jenis, 2 unit vape, 4 aksesori vape serta wang tunai sebanyak BND$46,089.00 yang dipercayai hasil dari penjualan barang-barang tegahan Kastam. 

Kesemua barangan tegahan telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-Undang untuk siasatan lanjut. 

JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED. Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan Kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan Kastam dengan menghubungi JKED di talian utama JKED: 8714422/8721422 atau pejabat Kastam yang berdekatan. Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. 


JABATAN KASTAM DAN EKSAIS DIRAJA 

KEMENTERIAN KEWANGAN DAN EKONOMI 

Tarikh: 11hb Jun 2022 

RUJ KES KASTAM: ENF/PR/8/2022





Attachments