Sign In
Web Creator

Kes Tangkapan Barang Tegahan Kastam

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasa Undang- Undang meneruskan lagi gerakan operasi menyasarkan empat tempat lokasi berasingan pada hari Jumaat, 24hb Disember dan pada hari Sabtu, 25hb Disember 2021.

Hasil gerakan operasi pertama yang telah dijalankan pada hari Jumaat, 24hb Disember 2021 di kawasan Pondok Elektrik, Kampong Katimahar, JKED telah menjumpai barang-barang tegahan Kastam iaitu 49 katon rokok yang disimpan di dalam sebuah kenderaan yang ditinggalkan.

Seterusnya pada hari Sabtu, 25hb Disember 2021, hasil gerakan operasi kedua yang telah dijalankan semasa pemeriksaan di sebuah rumah pekerja asing, JKED telah berjaya menahan 2 orang lelaki warganegara Indonesia dan Malaysia berumur 38 dan 45 tahun yang dipercayai memiliki dan terlibat dengan aktiviti penjualan barang-barang tegahan Kastam iaitu 11 katon, 1 paket dan 13 batang rokok pelbagai jenis dan 29 botol minuman keras pelbagai jenis.

Pada hari yang sama, hasil gerakan operasi yang ketiga yang telah dijalankan di kawasan Jalan Pasir Berakas, Mukim Berakas, JKED telah berjaya menahan 2 orang lelaki warganegara Indonesia berumur 31 dan 36 tahun yang dipercayai memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu 208 katon dan 37 paket rokok pelbagai jenis serta wang tunai berjumlah BND4,400 yang disyaki hasil daripada jualan barangan tegahan Kastam.

Manakala hasil gerakan operasi yang ke empat pula yang telah dijalankan di Mukim Sengkurong, JKED telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara Malaysia yang berumur 41 tahun yang dipercayai memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu 154 katon rokok pelbagai jenis, 439 botol minuman keras pelbagai jenis serta wang tunai BND5,340 yang disyaki hasil daripada jualan barangan tegahan Kastam.

Kesemua barangan tegahan terbabit telah dirampas dan kesemua individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Undang-Undang untuk siasatan lanjut.

JKED ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi mana-mana perundangan Negara yang berkuatkuasa pada masa ini dan menghindari dari melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan dan jua larangan tanpa sebarang kebenaran daripada agensi-agensi berkepentingan yang mengawal barang-barang tersebut. Memiliki barang-barang tegahan Kastam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED. Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan Kastam dengan menghubungi JKED di talian utama JKED: 8714422/8721422 atau Pejabat Kastam yang berdekatan. Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

JABATAN KASTAM DAN EKSAIS DIRAJA
KEMENTERIAN KEWANGAN DAN EKONOMI
Tarikh: 03/01/2022 RUJ KES KASTAM: ENF/PR/01/2022
Attachments