Sign In
Web Creator

Proses pendaftaran dan penubuhan syarikat perniagaan dipermudahkan

Dalam usaha bagi menyediakan iklim perniagaan yang kondusif dan mesra-pelanggan, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kewangan telah melaksanakan penambahbaikan pada pelbagai proses dan prosedur bagi sama-sama menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam lebih bersikap pro-bisnes dan pro-pelaburan.

Salah satu penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) di Kementerian Kewangan ialah bagi proses pendaftaran dan penubuhan syarikat di negara ini dibuat secara dalam talian bagi memudahkan orang ramai dan mempercepatkan kelulusan bagi penubuhan syarikat-syarikat perniagaan di negara ini.

Inisiatif ini mula dilaksanakan pada tahun 2015 dan boleh diakses dengan melayari www.roc.gov.bn. Sistem ini diberi penambahbaikan baru-baru ini di mana penempahan nama dan penubuhan-penubuhan syarikat dicantumkan menjadi satu langkah sahaja.

Dengan peniadaan yuran penempahan nama, kos keseluruhan pendaftaran bagi nama perniagaan menurun daripada BND35.00 menjadi BND30.00, manakala kos keseluruhan penubuhan syarikat adalah ditetapkan sebanyak BND300.00 sahaja. Pembayaran juga boleh dibuat secara dalam talian.

Proses pendaftaran yang boleh dilakukan sendiri ini tidak memerlukan bayaran perkhidmatan profesional dan awda mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap syarikat awda, di samping dapat berhubung secara langsung dengan pihak ROCBN.

Pendaftaran perniagaan juga memerlukan awda terlebih dahulu membuat akaun di laman sesawang ROCBN dan menyertakan e-mel yang aktif sebelum proses pendaftaran dilakukan sama ada bagi Nama Perniagaan atau nama Syarikat Sendirian Berhad atau Berhad.

Pihak ROCBN akan menghantar sijil pendaftaran nama perniagaan atau sijil penubuhan syarikat terus ke e-mel kepada awda sebaik sahaja selesai proses pendaftaran dan pembayaran.

Sistem ini juga membolehkan dokumen-dokumen bagi menyokong permohonan awda dimuat naik ke laman sesawang tersebut tanpa perlu berkunjung ke kaunter ROCBN. Semua dokumen-dokumen hendaklah diimbas (scan) terlebih dahulu dan dimuat naik ke dalam sistem tersebut. Pembayaran juga boleh dibuat secara dalam talian menggunakan kad kredit atau kad debit dan setelah diluluskan, sijil pendaftaran dan penubuhan syarikat akan die-mel kepada pemohon.

ROCBN juga ingin mengingatkan kepada semua pemohon mengenai beberapa kesalahan yang biasa dilakukan ketika membuat pendaftaran perniagaan. Ada kalanya orang ramai yang ingin menubuhkan syarikat milik persendirian (sole proprietorship) atau kongsi sama (partnership). Tetapi memasukkan pendaftaran atas nama syarikat Sendirian Berhad (Private Limited Company). Pemohon juga perlu mengetahui tanggungjawab mereka sebagai pemilik nama syarikat dan bersedia menerima risiko dari pemilikan tersebut terutama apabila syarikat mereka menghadapi masalah.

Sejak sistem pendafataran perniagaan secara dalam talian diperkenalkan pada tahun 2015 itu, para pengguna mendapati sistem ini memberikan banyak kemudahan dan menjimatkan masa mereka, sekali gus membolehkan mereka memulakan perniagaan secepat mungkin. Bentuk-bentuk syarikat yang ditubuhkan termasuklah syarikat permilikan sendiri dan syarikat perkongsian yang didaftar di bawah Akta Nama Syarikat (Chapter 92) hinggalah ke syarikat yang dipanggil Sendirian Berhad yang didaftar di bawah Akta Syarikat-Syarikat (Chapter 39).

Sistem ini adalah salah satu dari pembaharuan bagi mendukung inisiatif Memudahcara Perniagaan (Ease of Doing Business) yang bukan sahaja akan melonjakkan kedudukan negara dalam indek tersebut, tetapi juga akan menggalakkan lagi pertumbuhan aktiviti-aktiviti keusahawanan dalam kalangan orang-orang tempatan. Keseluruhan proses penubuhan syarikat perniagaan kini boleh dilaksanakan dalam tempoh satu hari sahaja berbanding 5 hari beberapa tahun yang lalu.

Dengan penambahbaikan ini, Negara Brunei Darussalam kini menyertai negara-negara yang melakukan peningkatan terbaik dalam aspek mendaftarkan syarikat perniagaan. Malahan proses bagi memulakan perniagaan telah meningkat lebih ketara sejak 2015 dengan pengemaskinian proses dan peniadaan lesen rampaian bagi kebanyakan jenis perniagaan dan sekali gus menjadikan memulakan perniagaan jauh lebih mudah.

Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan kesepaduan pelbagai agensi kerajaan di negara ini yang telah memperkenalkan pelbagai reformasi sistematik termasuk pengemaskinian proses, peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan memulakan perniagaan. Ini menampakkan kesungguhan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memperbaiki iklim perniagaan dan menjadikan negara sebagai destinasi menarik bagi para pelabur asing. Para pengusaha baharu yang ingin melaksanakan impian dan potensi mereka dalam bidang keusahawanan juga akan mendapat faedah dari penambahbaikan yang telah dilaksanakan ini.

Untuk maklumat yang lebih lanjut mengenai tatacara mendapatkan kebenaran / lesen / permit untuk perniagaan, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.business.gov.bn atau menghubungi talian +673 2380505 atau e-mel info.roc@mof.gov.bn.

Bagi yang baru menggunakan sistem tersebut tunjuk ajar diberikan mengenai cara pendaftaran dan memuat naik dokumen melalui laman sesawang ROCBN.

 

Imej dari laman sesawang www.roc.gov.bn, di mana pendaftaran dan penubuhan boleh dibuat dalam talian.

 

BAGI yang baru menggunakan sistem tersebut tunjuk ajar diberikan mengenai cara pendaftaran dan memuat naik dokumen melalui laman sesawang ROCBN.

Kementerian Kewangan

Attachments