Sign In
Web Creator

Peningkatan tempahan secara online Sistem Penyewaan Kemudahan Kerajaan

Sistem Penyewaan Kemudahan Kerajaan secara online atau Facilities Rental System (FRS) yang menggunakan kaedah perkongsian awam dan swasta atau Public Private Partnership (PPP) di antara Jabatan Perbendaharaan dan Syarikat Telekom Brunei Berhad (TelBru) yang telah dilancarkan pada 22 Ogos 2016 yang lalu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. FRS membolehkan orang ramai khususnya para pengguna untuk membuat tempahan bagi menggunakan kemudahan-kemudahan awam sama ada untuk tujuan bersukan dan riadah mahupun bagi pelbagai kegiatan sosial.

Kemudahan-kemudahan awam ini termasuklah yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan; Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dan Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.

Sejak dilancarkan, tempahan bagi tempat sukan dan riadah secara online semakin meningkat contohnya dalam bulan ketiga dilaksanakan, iaitu Oktober 2016 sahaja, sebanyak 565 tempahan telah dibuat. Iaitu peningkatan lebih 400 peratus berbanding bulan September sebelumnya. Antara jenis sukan yang menerima banyak tempahan adalah futsal, iaitu sebanyak 379 tempahan, bola sepak 151 tempahan, netball 80 tempahan, badminton 71 tempahan dan tenis 33 tempahan. Kemudahan-kemudahan lain yang juga menerima peningkatan tempahan secara online termasuklah snooker dan billiard, dodgeball, volleyball dan skuasy.

Dalam masa yang sama, kemudahan yang paling popular menerima tempahan secara online adalah Padang Futsal JKR, Padang Futsal Kompleks Sukan Menglait, Padang Futsal 'A' Kompleks Sukan Berakas, Padang Futsal 'B' Kompleks Sukan Berakas dan Padang Bola Sepak JKR.

Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan terus mengalu-alukan agensi-agensi kerajaan lain untuk sama-sama ikut serta dalam penyediaan kemudahan-kemudahan masing-masing untuk didaftarkan di dalam FRS bagi membolehkan tempahan dibuat secara online dan memudahkan orang awam menggunakannya.

Jabatan Perbendaharaan juga mengalu-alukan orang ramai untuk menggunakan kemudahan kerajaan bukan sahaja tempat-tempat sukan dan riadah malahan dewan-dewan dan letak kereta bagi tujuan kekeluargaan, mesyuarat, perniagaan atau latihan. Ini termasuklah dewan-dewan terpilih di Pusat Persidangan Antarabangsa, Pusat Belia dan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Dewan Teater Kementerian Kewangan dan beberapa kemudahan kerajaan lain yang telah pun berdaftar dengan FRS.

Dengan kemudahan secara online ini, orang ramai tidak perlu mengunjungi tempat-tempat tersebut untuk membuat tempahan sebaliknya hanya dengan melayari laman sesawang www.12book.com.bn mereka boleh mengetahui kadar sewa, tarikh kekosongan dan jenis kemudahan yang disediakan.

Ini boleh menjimatkan masa dan mengurangkan keperluan bagi membuat perjalanan ke tempat-tempat berkenaan bagi tujuan menempah. Tempoh penempahan boleh dibuat 90 hari lebih awal dari tarikh penggunaan. Ini akan membolehkan para penganjur membuat perancangan lebih awal bagi penganjuran sesuatu acara dan  menyediakan masa yang mencukupi bagi mengumpulkan dan menggalakkan penyertaan orang ramai bagi sukan dan acara-acara tersebut.

Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi Jabatan Perbendaharaan menerusi talian telefon +673 2383444 atau melalui e-mel ppp@treasury.gov.bn atau melayari www.12book.com.bn.

Kementerian Kewangan

Attachments