Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan Sambutan Hari Kastam Antarabangsa Tahun 2026 pada 7 Syaaban 1447H bersamaan 26 Januari 2026M bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei. Tema sambutan pada tahun ini adalah “Customs Protecting Society Through Vigilance and Commitment” iaitu tema yang digariskan oleh World Customs Organization (WCO).

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Dayang Hajah Latifah binti Haji Awang Mahmud, Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal II), Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Turut hadir ialah Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Yang Mulia Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Majlis dimulakan dengan pemeriksaan barisan oleh Tetamu Kehormat Majlis dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengawal Kastam dan Ekais Diraja. Dalam ucapan tersebut, Pemangku Pengawal Kastam menegaskan bahawa JKED berperanan penting sebagai benteng keselamatan negara dan pemacu perdagangan yang adil.

Majlis diteruskan dengan penyampaian epaulette kepada Pegawai-Pegawai JKED yang telah bertugas melebihi sembilan (9) tahun sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan khidmat bakti mereka. Majlis juga diteruskan dengan perasmian Pejabat baharu Unit Pendaftaran Agen Kastam, yang mana memberikan kemudahan bagi para agen kastam untuk mendapatkan perkhidmatan pendaftaran dengan lebih mudah, teratur dan efisien.

Di sebelah petang, turut diadakan Majlis Membaca Surah Yaasin dan Tahlil khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman, dan paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim. Majlis diadakan di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong. Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Majlis juga dihadiri oleh Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Majlis telah diisikan dengan bacaan Surah Yaasin dan diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Pemangku Timbalan Penguasa Kastam, Yang Mulia Awang Haji Mohamad Junaidi bin Haji Ahmad. Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Doa Tahlil dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Sambutan ini bukan sahaja memperingati peranan penting kastam dalam pembangunan negara, tetapi juga menegaskan komitmen berterusan JKED untuk melindungi masyarakat melalui kewaspadaan dan dedikasi, seiring dengan tema yang digariskan oleh World Customs Organization pada tahun ini.

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
Negara Brunei Darussalam
Tarikh: 07hb Syaaban 1447H
26hb Januari 2026M