24 April 2024
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan
Ekonomi telah mengeluarkan empat (4) Notis Amaran kepada empat (4) buah
premis perniagaan kerana ketidakpatuhan terhadap Peraturan-Peraturan Acara
Harga Jualan Murah pada hujung bulan Februari dan dalam bulan Mac 2024.
Berikutan pemeriksaan ke atas peserta-peserta acara Jualan Mega Brunei 2024
yang dilaksanakan oleh JPES dan aduan pengguna, Syarikat D Euro Fabric, Batu
Bersurat telah dikeluarkan Notis Amaran kerana menjalankan aktiviti jualan murah
yang mengelirukan pengguna di mana harga sebelum dan selepas diskaun adalah
sama. Syarikat berkenaan telah melanggar Peraturan 16 (1) dan (2) di bawah
Peraturan-Peraturan Acara Harga Jualan Murah.
Pemeriksaan yang dijalankan oleh JPES juga mendapati Syarikat Shahira Jaya
Supermarkert Sdn Bhd, Jalan Lumapas, Syarikat Sports Nation Company, Mabohai
dan Syarikat Best Eastern, Mabohai masing-masing melakukan atas kesalahan di
bawah Peraturan 16 (3) dan (4) dari Peraturan-Peraturan Acara Harga Jualan Murah
iaitu mengadakan jualan murah tanpa makluman, tidak mempamerkan Notis Jualan
dan tidak memberi dokumen yang relevan seperti di dalam syarat jualan semasa
pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan. Syarikat-syarikat berkenaan telah
dikeluarkan Notis Amaran.
JPES sentiasa menasihatkan peniaga untuk menjalankan acara jualan murah
secara beretika dengan mematuhi Peraturan-Peraturan Acara Harga Jualan Murah,
Akta Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), Penggal 261 dan Perintah
Paparan Tanda Harga. Ini termasuk mempamerkan tanda harga, diskaun serta
terma dan syarat dengan benar, jelas dan betul bagi membantu pengguna untuk
membuat pilihan pembelian yang bermaklumat. Amalan perniagaan yang beretika
dan wajar adalah penting bagi membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan
membina persekitaran perniagaan yang kondusif.
Peniaga turut disarankan untuk memberikan kerjasama kepada JPES dengan
membekalkan maklumat-maklumat perniagaan yang terkini dan sahih seperti
senarai harga jualan apabila pemeriksaan dilaksanakan di premis perniagaan. Notis
Acara Harga Jualan Murah yang dikeluarkan oleh JPES juga hendaklah dipamerkan
dengan terang dan jelas di premis perniagaan.
Peniaga yang masih didapati gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Acara Harga
Jualan Murah boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak BND$1,000 menurut
Bab 10A, Akta Kawalan Harga, Penggal 142. Bagi kesalahan berulang, boleh
dikenakan denda maksimum BND$20,000 dan penjara 5 tahun oleh Mahkamah di
bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142.
Aduan mengenai amalan perniagaan yang tidak beretika boleh disalurkan kepada
JPES melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau Talian Darussalam 123,
dengan menyertakan dokumen sokongan seperti resit pembayaran atau gambar
sebagai bukti, bagi penelitian lanjut.
*******
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik
Kementerian Kewangan dan Ekonomi