Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan Sesi Muzakarah di antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada hari Sabtu, 12 Syaaban 1447H bersamaan 31 Januari 2026M bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku pengerusi semasa Sesi Muzakarah tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pemangku Setiausaha-Setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Timbalan Setiausaha Tetap berserta ketua-ketua jabatan dan bahagian Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Manakala rombongan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, yang mana juga telah menyampaikan ucapan balas semasa permuzakarahan tersebut.
Sesi Muzakarah tersebut merupakan sebuah platform perbincangan serta bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan secara konstruktif yang merangkumi pelbagai aspek, antaranya lanskap ekonomi global dan domestik; strategi pengurusan fiskal melalui perlaksanaan Program Fiscal Consolidation (FCP) dan pengkorporatan; usaha transformasi ekonomi melalui Brunei Darussalam Economic Blueprint; tadbir urus kewangan; memperkukuh ekonomi perdagangan dan industri tempatan serta pengukuhan hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.
Dalam pada masa yang sama, Yang Berhormat Pengerusi Majlis turut menekankan kepentingan perpaduan dan kerjasama semua pihak termasuk sektor kerajaan, sektor swasta dan masyarakat melalui pendekatan ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Nation’ untuk sama-sama berganding bahu ke arah mencapai ekonomi yang dinamik dan mampan.
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
Negara Brunei Darussalam
Emel: pr@mofe.gov.bn
Tarikh: 12 Syaaban 1447H | 31 Januari 2026
Rujukan: KKW/ADM/JBT/5