Sign In
Web Creator

Kes-Kes Tangkapan Gerakan Operasi Barang Tegahan Kastam Dan Aktiviti Pelupusan Barang-Barang Rampasan Kastam

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang telah menjalankan lima gerakan operasi di kawasan Jalan Pandan 5 Daerah Belait, kawasan Bandar Seri Begawan, kawasan Jalan Sumbiling, kawasan Kampong Pengkalan Sibabau dan kawasan letak kereta, Seria.

Hasil gerakan operasi pertama yang dijalankan pada hari Rabu, 27hb Julai 2022 di kawasan Jalan Pandan 5 Daerah Belait, JKED telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara tempatan yang berumur 20 tahun yang memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu 17 katon dan 1 paket rokok pelbagai jenis serta 92 jenis Vape Pod pelbagai jenis. 

Hasil gerakan operasi kedua yang dijalankan pada hari Khamis, 28hb Julai 2022 di kawasan Bandar Seri Begawan, JKED telah berjaya menahan dua orang lelaki warganegara tempatan yang berumur 68 dan 69 tahun yang memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu 30 paket rokok pelbagai jenis. 

Hasil gerakan operasi ketiga yang dijalankan pada hari Jumaat, 29hb Julai 2022 di kawasan Jalan Sumbiling dan seterusnya pemeriksaan dilaratkan di kawasan Batu Bersurat, JKED telah berjaya menahan seorang warganegara asing yang berumur 33 tahun yang memiliki barang tegahan Kastam iaitu 38 botol minuman keras pelbagai jenis, 13 batang rokok, 1 unit Vape Pod, 4 perisa jus pelbagai jenis dan aksesori Vape. 

Hasil gerakan operasi keempat yang dijalankan pada hari Isnin, 1hb Ogos 2022 di kawasan Kampong Pengkalan Sibabau, JKED telah berjaya merampas 1,920 tin minuman keras pelbagai jenis serta 2 katon rokok. Turut dirampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk pemunggahan barang-barang tegahan. 

Seterusnya pada hari yang sama bagi hasil gerakan operasi yang kelima yang dijalankan di kawasan letak kereta orang awam dan pemeriksaan dilaratkan di kawasan Jalan Lorong 3 Seria, JKED telah berjaya menahan dua orang penduduk tetap yang berumur 16 dan 21 tahun yang memiliki barang tegahan Kastam iaitu 15 katon dan 33 batang rokok pelbagai jenis. 

Kesemua barang-barang terbabit telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.

Manakala bagi aktiviti pelupusan barang-barang rampasan Kastam, turut menyertai pihak JKED melaksanakan aktiviti tersebut ialah agensi-agensi yang berkaitan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe). Proses pelupusan adalah dengan menggunakan jentera berat iaitu dengan cara dikemek-kemekan kesemua barang-barang rampasan sehingga hancur. 

Pada bulan Jun, aktiviti pelupusan dilaksanakan iaitu 3,839 katon rokok pelbagai jenis, 10 paket rokok, 28 katon minuman keras pelbagai jenis, 512 botol minuman keras pelbagai jenis dan 1,036 tin minuman keras pelbagai jenis. 

Pada bulan Julai, aktiviti pelupusan dilaksanakan bagi barang-barang rampasan iaitu 1 kawah, 1 alat kawalan jauh dan receiver jenama Njoi yang dibawa masuk melalui Pos Kawalan Kuala Lurah. 

Aktiviti pelupusan dilaksanakan juga bagi barang-barang tegahan Kastam seperti berikut: 

  • 1 box Shisha, 3 set aksesori Shisha, 2 katon rokok, 87 paket rokok pelbagai jenis, 2 botol minuman keras pelbagai jenis serta 2 bilah pisau jenama Rambo hasil daripada rampasan barang-barang yang dibawa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas (LTAB). 
  • 233 katon rokok pelbagai jenis dan 671 paket rokok, 801 botol minuman keras pelbagai jenis, 1,219 tin minuman keras pelbagai jenis. 

Mana-mana barang rampasan atau tahanan yang melebihi tempoh 30 hari dan mana-mana barang rampasan dibawah perintah mahkamah adalah dibawah kuasa Pengawal Kastam dan Eksais Diraja untuk dilupuskan mengikut Bab 131 dan Bab 132, Perintah Kastam 2006. 

JKED ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi mana-mana perundangan Negara ini dan menghindari dari melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan juga larangan Kastam. Memiliki barang-barang tegahan Kastam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006. 

JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED. Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan Kastam dengan menghubungi JKED di talian utama JKED: 8714422/8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan. Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.


JABATAN KASTAM DAN EKSAIS DIRAJA 

KEMENTERIAN KEWANGAN DAN EKONOMI 

Tarikh: 5hb Ogos 2022 

RUJ KES KASTAM: ENF/PR/12/2022







Attachments