Sign In
Web Creator

12 kompaun BND500 dan 57 notis amaran dikeluarkan atas kesalahan di bawah Penetapan Harga Maksimum Bermusim (PHMB) 2022

​Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP) di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengeluarkan dua belas (12) kompaun masing-masing berjumlah BND500 dan lima puluh tujuh (57) notis amaran atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum barangan yang disenaraikan di bawah Penetapan Harga Maksimum Bermusim (PHMB) 2022 selama dua bulan iaitu pada bulan Ramadhan dan Syawal 1443 Hijrah.

Premis-premis yang dikeluarkan kompaun berjumlah BND500 adalah Almaas Sdn Bhd, Hama Department Store, Haula Trading Minimart, Hari-Hari Maju Enterprise, Hong Bee Trading Company, Roshney Alif Sdn Bhd, Seri Yasra Enterprise Sdn Bhd, Sifana Sdn Bhd, Syarikat Affinna dan Anak-Anak, Syarikat Salha Aryssa, Quthairah Enterprise dan Ya Nur Trading Company Sdn Bhd.

Barangan makanan yang ditetapkan harga maksimum adalah ayam bulat, telur ayam, isi daging biasa, mentega, marjerin, minyak sapi, tepung dan susu pekat, cair dan krim. Penetapan Harga Maksimum Bermusim (PHMB) dilaksanakan secara sementara bertujuan untuk membantu rakyat dalam menampung perbelanjaan harian semasa musim perayaan

JPES menyeru para peniaga untuk terus mengamalkan etika perniagaan yang telus dengan tidak menggelirukan pengguna, menawarkan harga yang berpatutan dan kompetitif untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang sihat bagi mendatangkan manfaat kepada peniaga, pengguna dan pembangunan ekonomi

Para pengguna juga disarankan supaya menggunakan hak mereka sebagai pengguna bagi melaporkan apa jua amalan peniaga yang menggelirukan, tidak beretika dan tidak wajar di kalangan peniaga. Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan maklumat di aplikasi PenggunaBijak bagi membuat perbandingan harga sebelum membuat keputusan untuk berbelanja. Pengguna yang bermaklumat dapat menjimatkan perbelanjaan bagi kesejahteraan kehidupan

Pengguna boleh menghubungi JPHEP melalui Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau melalui e-mel kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn / consumercomplaint@jpes.gov.bn, beserta dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar sebagai bukti. 





Attachments