Sign In
Web Creator

Kes-Kes Tangkapan Gerakan Operasi Barang Tegahan Kastam

​Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasa UndangUndang telah menjalankan lima gerakan operasi iaitu tiga gerakan operasi melibatkan pemeriksaan rumah dan dua gerakan operasi sekatan jalan raya di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien dan di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN). 

Hasil gerakan operasi pertama yang dijalankan pada hari Selasa, 31hb Mei 2022 di sebuah rumah di kawasan Kampong Anggerek Desa, JKED telah berjaya menahan 6 orang lelaki warganegara asing yang berumur lingkungan 30 hingga 54 tahun yang memiliki dan terlibat dalam penjualan barang-barang tegahan Kastam iaitu sebanyak 4 katon, 15 paket dan 62 batang rokok pelbagai jenis serta wang tunai sebanyak BND$536.00 dipercayai hasil dari penjualan barang-barang tegahan Kastam. 

Hasil gerakan operasi kedua yang dijalankan pada hari Khamis, 2hb Jun 2022 di sebuah rumah di kawasan Serambangun, Daerah Tutong, JKED telah berjaya menahan 2 individu penduduk tetap dipercayai terlibat dalam penjualan barang-barang tegahan Kastam iaitu seorang lelaki dan perempuan berumur 21 dan 22 tahun. Hasil dari gerakan tersebut telah berjaya merampas 18 katon, 28 paket dan 12 batang rokok pelbagai jenis. Turut dirampas 2 unit vape dan 2 botol jus perisa vape. 

Pada hari yang sama, hasil gerakan operasi ketiga yang dijalankan di sebuah rumah di kawasan Kampong Sengkarai, Daerah Tutong, JKED telah berjaya menahan 2 individu warga tempatan iaitu seorang lelaki dan perempuan berumur 29 dan 34 tahun yang dipercayai memiliki dan terlibat dalam aktiviti penjualan barang-barang tegahan Kastam sebanyak 4 paket rokok, 11 botol minuman keras pelbagai jenis, bunga api dan mercun. 

Hasil gerakan operasi keempat dan kelima pada hari Sabtu, 4hb Jun 2022 yang dijalankan secara serentak ialah operasi sekatan jalan raya yang telah dijalankan di dua buah daerah di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien menuju ke Bandar Seri Begawan dan di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN), di Kampong Panaga Daerah Belait. Menerusi hasil gerakan operasi-operasi tersebut, JKED telah berjaya menahan 16 belas orang individu iaitu 14 orang warganegara tempatan, seorang penduduk tetap dan seorang warganegara asing berumur dalam lingkungan 19 hingga 58 tahun yang dipercayai memiliki barang-barang tegahan Kastam iaitu sebanyak 3 katon, 7 paket dan 94 batang rokok pelbagai jenis, 11 unit vape dan 4 botol perisa jus vape pelbagai jenis. 

Kesemua barangan tegahan telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut. 

JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED. Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan Kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan Kastam dengan menghubungi JKED di talian utama JKED: 8714422/8721422 atau pejabat Kastam yang berdekatan. Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.







JABATAN KASTAM DAN EKSAIS DIRAJA KEMENTERIAN KEWANGAN DAN EKONOMI 

Tarikh: 8hb Jun 2022 RUJ KES KASTAM: ENF/PR/7/2022

Attachments