Sign In
Web Creator

Kompaun BND1,000 dikeluarkan bagi kesalahan berulang mengelirukan pengguna dengan harga tidak selaras

​Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP) di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengeluarkan satu kompaun berjumlah BND1,000 dan dua notis amaran kepada tiga buah premis perniagaan kerana melanggar Perintah Paparan Tanda Harga.  

Ketiga-tiga premis perniagaan didapati memaparkan harga barangan yang tidak selaras dengan harga sebenar yang dibayar oleh pengguna. Sri Azlina Sdn Bhd dikenakan kompaun berjumlah BND1,000. Pada bulan Mac lepas premis berkenaan telah dikeluarkan kompaun berjumlah BND700 atas kesalahan yang sama. Fayze Department Store dan Sifana Sdn Bhd pula diberikan notis amaran. 

Perintah Paparan Tanda Harga dan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) dikuatkuasakan untuk melindungi pengguna daripada amalan perniagaan yang tidak beretika. Para peniaga hendaklah peka dan sentiasa mengamalkan amalan perniagaan yang wajar dan beretika termasuk memaparkan harga dengan jelas dan tepat serta tidak mengelirukan pengguna dalam membuat keputusan pembelian. Amalan perniagaan yang beretika adalah asas dalam membina kepercayaan pengguna dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang sihat. 

Para peniaga yang didapati melanggar Perintah Paparan Tanda Harga boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara selama 5 tahun. 

Pengguna yang berdepan dengan sebarang amalan perniagaan yang mengelirukan adalah digalakkan untuk melaporkannya kepada JPHEP melalui Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau melalui e-mel kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn / consumercomplaint@jpes.gov.bn, beserta dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar sebagai bukti.  






Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna 

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik 

Kementerian Kewangan dan Ekonomi

Attachments