Kementerian Kewangan serta Jabatan-Jabatan di dalamnya telah mengadakan Majlis Persembahan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah pada hari Khamis, 7 Rabiulawal 1448 bersamaan 20 Ogos 2026 bertempat di Masjid Universiti Brunei Darussalam, Universiti Brunei Darussalam.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di Majlis Persembahan Dikir Syarafil Anam ialah Yang Mulia Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Haji Ahmad, Setiausaha Tetap (Fiskal). Turut hadir ialah Yang Mulia Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, ketua ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan lelaki Kementerian Kewangan serta Jabatan-Jabatan di dalamnya.

Persembahan Dikir Syarafil Anam adalah untuk menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di samping bagi mengenang jasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam memperjuangkan syiar Islam sekali gus menyuntik rasa kecintaan kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sebelumnya, Kementerian Kewangan telah mengadakan majlis yang sama pada hari Jumaat, 14 Ogos 2026 bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampong Manggis, Madang.

Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Kewangan telah diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat, Kementerian Kewangan dan Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

-TAMAT-

Disediakan oleh:
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat
Kementerian Kewangan
Negara Brunei Darussalam

Emel: corporatecommunication@mof.gov.bn
Rujukan: KKW/ADM/28
Tarikh: 20 Ogos 2026