Kementerian Kewangan serta Jabatan-Jabatan di dalamnya telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-80 tahun bertempat di Surau, Tingkat 3, Island Block, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri Kewangan II. Turut hadir Pemangku Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan serta Jabatan-Jabatan di dalamnya termasuk pegawai dan kakitangan Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Brunei Darussalam Central Bank.
Majlis dimulakan dengan solat Sunat Hajat dan diikuti dengan bacaan Surah Yaasin dan Doa Kesyukuran sebelum diakhiri dengan Solat Fardhu Asar berjemaah yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Mohammad Akbar @ Pengiran Mohammad Idrus bin Pengiran Haji Mohd Sabri, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis berkenaan diadakan sebagai melahirkan kesyukuran akan kepimpinan Baginda Sultan dan seterusnya memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T semoga Baginda dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal qarar memerintah negara dengan berlandaskan iman dan panduan daripada Allah S.W.T.
Majlis pada tahun ini adalah dikelolakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat, Kementerian Kewangan. -TAMAT-
Disediakan oleh:
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat
Kementerian Kewangan
Negara Brunei Darussalam
Emel: corporatecommunication@mofe.gov.bn
Rujukan: KKW/ADM/27B
Tarikh: 1 Safar 1448H | 16 Julai 2026H