Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan Majlis Doa Selamat kepada bakal-bakal Haji pada hari Selasa, 10 Zulkaedah 1447 Hijrah bersamaan 28 April 2026 Masihi bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha-Setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Jabatan-Jabatan di dalamnya termasuk pegawai dan kakitangan Brunei Darussalam Central Bank.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, Dayang Nurul Izzah binti Haji Abdul Kahar, Setiausaha Lembaga Tawaran Negara. Seterusnya, majlis disusuli dengan penyampaian ceramah khas bertajuk “Lambaian Baitullah” yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan derma kepada 17 orang bakal jemaah Haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis keugamaan seumpama ini merupakan aktiviti tahunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi meraikan pegawai dan kakitangan yang akan mengerjakan ibadah Haji pada tahun ini disamping mengeratkan hubungan silaturrahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya. Majlis pada tahun ini dikendalikan oleh Lembaga Tawaran Negara, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
Negara Brunei Darussalam
Emel: pr@mofe.gov.bn
Tarikh: 10 Zulkaedah 1447H | 28 April 2026M
Rujukan: KKW/ADM/14B