Majlis Penyampaian Cenderamata Persaraan bagi pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Jabatan-Jabatan di dalamnya yang telah bersara pada Tahun 2024 telah diadakan pada hari Sabtu, 09 Jamadilakhir 1447H bersamaan 29 November 2025M, bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Bandar Seri Begawan. 

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian cenderamata di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang
Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Jabatan-Jabatan di dalamnya berserta pegawai dan kakitangan yang telah bersara pada tahun 2024.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Latifah binti Haji Mahmud, Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal II), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan seterusnya diselajurkan dengan penyampaian cenderamata oleh Tetamu Kehormat Majlis.

Seramai Lima Puluh Dua (52) orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan di dalamnya yang telah bersara pada tahun 2024.

Antara lain objektif majlis tersebut diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah bersara dan untuk menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan semasa bertugas di Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Disamping itu, ianya adalah juga bertujuan bagi mengekalkan silaturrahim dan hubungan kekeluargaan antara pegawai dan kakitangan yang telah bersara dan yang masih berkhidmat di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Majlis Penyampaian Cenderamata Persaraan Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manunsia dan Hal Ehwal Korporat, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

-TAMAT-

Disediakan oleh:
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
Negara Brunei Darussalam
Emel: pr@mofe.gov.bn
Rujukan: KKW/ADM/100
Tarikh: 09 Jamadilakhir 1447H
29 November 2025