Kementerian Kewangan telah mengadakan Majlis Penyampaian Pengurniaan Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 Tahun bagi Tahun 2025 pada hari Sabtu, 4 Muharram 1448H bersamaan 20 Jun 2026M, bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian pingat-pingat berkenaan ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri Kewangan II. Turut hadir Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Timbalan Menteri Kewangan, Pemangku Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abdul Wahab, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan diteruskan dengan penyampaian Pingat Kerja Lama (P.K.L) oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Seramai 45 orang telah menerima Pingat Kerja Lama (P.K.L), terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan serta Jabatan-Jabatan di dalamnya termasuk pegawai dan kakitangan daripada Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Majlis ini diadakan adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan jasa kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah berkhidmat lebih daripada 20 tahun serta mengenang jasa dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat
Kementerian Kewangan
Negara Brunei Darussalam
Emel: corporatecommunication@mofe.gov.bn
Rujukan: KKW/ADM/104
Tarikh: 4 Muharram 1448H | 20 Jun 2026M