Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan Majlis Ibadah Korban bagi tahun 1447H/2026M pada hari Sabtu, 12 Zulhijjah 1447H bersamaan 30 Mei 2026M bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Ketua-Ketua Jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya.
Sebanyak tujuh (7) ekor kerbau telah dikorbankan dengan penyertaan seramai empat puluh sembilan (49) orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan serta ahli keluarga Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Jabatan-Jabatan di dalamnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh YM Awangku Ahmad Faturrahman Nur Firdaus bin Pengiran Haji Hassanudin, Imam Tingkat I, Kementerian Hal Ehwal Ugama, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh YM Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim, Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja selaku Pengerusi Majlis. Majlis kemudiannya diserikan dengan laungan takbir dan persembahan tausyeh yang dipimpin oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian agihan daging korban kepada seramai seratus (100) orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf di kawasan Daerah Brunei Muara. Penyampaian tersebut telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan.
Penganjuran majlis ini merupakan aktiviti keugamaan tahunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam menyemarakkan sambutan hari-hari kebesaran Islam, di samping memupuk semangat kebersamaan serta berkongsi rezeki dan kegembiraan dengan golongan yang kurang bekemampuan.
Majlis pada tahun ini telah dikendalikan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
Negara Brunei Darussalam
Emel: pr@mofe.gov.bn
Rujukan: KKW/ADM/13 pt.1
Tarikh: 12 Zulhijjah 1447H | 30 Mei 2026M