Unit Pembangunan Koperasi (UPK) di bawah Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) telah menganjurkan Sesi Dialog ‘Pengendalian dan Pengurusan Stesen Minyak Koperasi’ pada Hari Sabtu, 07 Zulkaedah 1447H bersamaan 25 April 2026M, bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Mohammad Harris bin Brigadier General (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Allen On, Pengarah, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Penganjuran ini merupakan salah satu inisiatif UPK dalam usaha berterusan untuk memperkukuhkan koperasi sejak Unit Pembangunan Koperasi diserapkan ke Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada tahun 2019. Pendekatan yang diambil adalah lebih tersusun dan berfasa, bermula daripada pemerkasaan pematuhan dan tadbir urus, diikuti dengan pengukuhan operasi, seterusnya ke arah membina daya tahan dan pertumbuhan koperasi secara lebih mampan.
Dalam ucapan alu-aluan, Yang Mulia Awang Allen On menekankan bahawa pengukuhan koperasi perlu bermula dengan asas yang kukuh, termasuk mesyuarat yang teratur, akaun yang jelas, tadbir urus yang berkesan, pematuhan kepada peraturan serta disiplin pengurusan yang baik. Beliau turut menjelaskan bahawa usaha ini memerlukan kerjasama dua hala antara pihak Kementerian dan koperasi sendiri bagi memastikan koperasi menjadi lebih tersusun, diyakini dan
berdaya tahan.
Sesi dialog ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman koperasi-koperasi, khususnya yang mengendalikan stesen minyak, mengenai pematuhan kepada prosedur operasi standard, keperluan keselamatan, kesihatan, alam sekitar, tadbir urus, pengurusan risiko serta kelestarian perniagaan. Sesi ini juga menjadi platform untuk berkongsi amalan terbaik industri, memperkenalkan peluang pembiayaan, serta membuka ruang kepada koperasi untuk meneroka peluang diversifikasi dan nilai tambah perniagaan.
Sesi ini juga mengadakan taklimat yang disampaikan oleh Unit Pembangunan Koperasi (UPK), Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sendirian Berhad (BSM) dan Safety, Health and Environment National Authority (SHENA). Program turut disusuli dengan sesi soal jawab, yang telah memberi peluang kepada ahli-ahli koperasi untuk berkongsi pandangan, mengemukakan persoalan serta cabaran yang dihadapi, yang juga sangat berguna kepada UPK dalam memahami isu-isu sebenar di lapangan dan mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan yang bersesuaian. Turut diadakan ialah pameran (booth) yang disertai oleh beberapa agensi dan pihak berkepentingan, bagi memberi peluang kepada koperasi untuk mendapatkan maklumat lanjut serta menimba pengetahuan berkaitan pengurusan dan aktiviti perniagaan.
Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui UPK akan terus melaksanakan lebih banyak sesi libat urus dan platform seumpama ini dari semasa ke semasa bagi menggalakkan dialog, kerjasama serta usaha berterusan dalam memperkukuhkan gerakan koperasi di Negara Brunei Darussalam.
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
Emel: info.koperasi@mofe.gov.bn
Rujukan: KKW/UPK/PNT/10-AKTIVITI
Tarikh: 07 Zulkaedah 1447 / 25 April 2026