Mulai 1hb April 2026, semua kenderaan berpendaftaran asing yang memasuki Negara Brunei Darussalam dikehendaki mempunyai paras tangki bahan api kenderaan minima sebanyak tiga suku (¾). Ini adalah berikutan dengan pengemaskinian kawalan pembelian Produk Petroleum (Gasoline, Diesel, V Power Gasoline dan V Power Diesel) yang telah dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri.

Syarat ¾ tangki ini juga dilaksanakan ke atas kenderaan berpendaftaran Negara Brunei Darussalam bagi kemasukan ke Negara buat kali kedua dan seterusnya dalam tempoh 24 jam. Kenderaan berpendaftaran asing yang tidak memenuhi syarat ini tidak akan dibenarkan masuk ke Negara Brunei Darussalam. Kenderaan kerajaan rasmi adalah dikecualikan.

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) pada masa ini bergiat aktif membantu memastikan setiap kenderaan yang keluar dan masuk melalui pos – pos kawalan mematuhi peraturan ini bagi sama – sama melindungi bekalan tenaga Negara.

Lawatan kerja bagi meninjau pelaksanaan pengawalan yang disebutkan di atas telah diadakan di Pos Kawalan Sungai Tujoh pada hari Khamis, 2hb April 2026 oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri; Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddinbin Haji Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi); Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga), Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Mulia Awang Azizil Hakim bin Haji Brahim, Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja bersama rombongan pihak pengurusan JKED.

Dikesempatan ini, JKED menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi syarat baharu kemasukan kenderaan dengan memastikan tangki minyak tidak kurang daripada ¾ penuh sebelum memasuki Negara Brunei Darussalam. Selain itu, orang awam juga dinasihatkan untuk memastikan meter minyak (fuel gauge meter) dan odometer berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan tepat bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa pemeriksaan. Langkah ini dilaksanakan demi kelancaran perjalanan masuk ke Negara Brunei Darussalam.

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
Tarikh : 13 Syawal 1447H | 03 April 2026M