Pada persidangan hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2026, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II telah membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II semasa sesi pembentangan tersebut, mengongsikan bahawa Rang Anggaran Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027 telah dirangka dalam konteks untuk meneruskan usaha Kerajaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035, selaras dengan Tema Belanjawan bagi tempoh lima (5) tahun bermula Tahun Kewangan 2026/2027 ini hingga Tahun Kewangan 2030/2031, iaitu “BERSAMA MENJAYAKAN WAWASAN BRUNEI 2035” atau “TOGETHER ACHIEVING WAWASAN BRUNEI 2035”.

Tema Belanjawan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 ini akan memfokuskan kepada tiga (3) keutamaan Belanjawan seperti berikut:

  1. Memperkukuh Kestabilan Fiskal dan Tadbir Urus Kewangan;
  2. Memperkasa Ekonomi melalui Transformasi dan Inovasi; dan
  3. Menjamin Kelestarian Sosial dan Pembangunan Masa Hadapan.

Selain itu, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II juga telah mengongsikan bahawa Negara juga berhadapan dengan persekitaran global yang semakin mencabar dengan ketidaktentuan ekonomi dunia yang dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik terkini termasuk di Timur Tengah, perubahan struktur perdagangan global, dan prospek pertumbuhan global yang sederhana serta cabaran perubahan iklim memerlukan Kerajaan untuk bertindak secara berwaspada dan strategik. Oleh itu, keupayaan negara untuk mengekalkan kestabilan makroekonomi dan kedayatahanan fiskal adalah amat penting.

Dalam hal itu, Rang Anggaran Belanjawan tersebut telah memberikan penekanan khusus kepada agenda fiskal mampan, dengan memastikan perbelanjaan awam diurus secara lebih cekap, berimpak tinggi dan berorientasikan hasil. Belanjawan tahun ini akan memberi tumpuan kepada pengurusan fiskal yang memenuhi kriteria berikut:

  1. Strategik dan Berimpak Tinggi: Memastikan setiap dana membawa pulangan jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi;
  2. Transformasi dan Inovatif: Menggalakkan perubahan lanskap ekonomi yang lebih moden dan dinamik; dan
  3. Disiplin Kewangan: Mengimbangi keperluan pembangunan dengan pengurusan perbelanjaan yang berhemat.

Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan setiap perancangan kewangan bukan sahaja menyokong pertumbuhan hari ini, malah menjamin kemakmuran generasi akan datang.

Cadangan Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027 adalah berjumlah Enam Bilion Tiga Ratus Juta Dolar Brunei (BND6.3 bilion), untuk membiayai perbelanjaan Negara menurut kategori-kategori berikut:

  1. Dua Bilion Tiga Ratus Sepuluh Juta Dolar Brunei (BND2.31 bilion) iaitu 36.7 peratus daripada peruntukan keseluruhan, untuk membiayai Emolumen termasuk pembayaran gaji, faedah perkhidmatan, kemudahan-kemudahan lain, dan caruman majikan;
  2. Dua Bilion Empat Ratus Lima Puluh Juta Dolar Brunei (BND2.45 bilion) iaitu 38.8 peratus daripada peruntukan keseluruhan adalah untuk membiayai Perbelanjaan Berulang-Ulang Kementerian dan Jabatan Kerajaan;
  3. Empat Ratus Lapan Puluh Juta Dolar Brunei (BND480 juta) untuk membiayai projek-projek pembangunan di bawah RKN 12, dengan Harga Rancangan sejumlah 4 bilion Dolar Brunei; danSelebihnya untuk membiayai perbelanjaan di bawah tajuk Perbelanjaan Yang Di-Akui.

Manakala bagi Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II telah mengongsikan peningkatan progres pembangunan projek di bawah RKN 12 dengan 78 projek sedang dalam pelaksanaan berbanding 65 projek pada tahun kewangan lepas. Pada masa yang sama, terdapat sebanyak 68 projek dalam tawaran, 91 projek masih dalam peringkat rekabentuk dan 37 projek dalam peringkat perancangan. Projek-projek yang siap antaranya adalah projek-projek yang mendukung kluster pendidikan, kemajuan sosial, perumahan, mengukuhkan kelestarian alam sekitar, mengukuhkan sekuriti makanan dan bagi memajukan industri pelancongan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kandungan pembentangan Rang Belanjawan 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan, bolehlah melayari laman sesawang Kementerian.

Pautan slaid dan ucapan pembentangan: Tekan Sini.

Disediakan oleh:
Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
E-mel: pr@mofe.gov.bn
Rujukan: KKW/ADM/70
Tarikh: 24 Ramadan 1447H/ 14 Mac 2026