Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Jabatan-Jabatan di dalamnya telah mengadakan Majlis Bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim sempena bulan Ramadhan 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi bertempat di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi Majlis Bertahlil ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Pemangku Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, beserta pegawai dan kakitangan lelaki yang beragama Islam.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yaasiin dan diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Faisal bin Janip / Rosli, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampong Tamoi.

Manakala pada masa yang sama, pegawai-pegawai dan kakitangan wanita Kementerian Kewangan dan Ekonomi beserta Jabatan-Jabatan di dalamnya telah mengadakan Majlis Ceramah Khas sempena bulan Ramadhan bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi Majlis Ceramah Khas ialah Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal). Turut hadir Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, pegawai dan kakitangan wanita Kementerian Kewangan dan Ekonomi berserta Jabatan-Jabatan di dalamnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diikuti dengan penyampaian sebuah ceramah khas yang bertajuk “Meniti Usia Yang Tersisa” yang disampaikan oleh penceramah undangan Yang Mulia Dr Widad binti Haji Abdul Aziz, Pensyarah dari Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Majlis seumpama ini adalah merupakan aktiviti keagamaan tahunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi disamping mengeratkan hubungan silaturrahim diantara pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian ini serta Jabatan-Jabatan di dalamnya. Majlis pada tahun ini diselenggarakan oleh Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

-TAMAT-

Disediakan oleh:
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat
Kementerian Kewangan dan Ekonomi
Negara Brunei Darussalam

Emel: pr@mofe.gov.bn
Tarikh: 06 Ramadhan 1447H | 24 Februari 2026M
Rujukan: KKW/ADM/15 Pt.2